DADAH BOLEH MEROSAKAN GENERASI MUDA ....KATA ZAKARIA


Tuesday Jun 31/2016


GAMBAR KELIHATAN…..Zakaria (kiri) melawat  gerai pameran Polis Diraja Malaysia selepas merasmikan program

OLEH: AZMIE AZMAN
www.sabahinsider14.blogspot.com

SANDAKAN:  Pendidikan pencegahan asas terhadap keburukan dadah perlu diberikan kepada anak-anak muda kita sejak dari peringkat sekolah rendah supaya mereka dapat menghindari dadah.

Penyalahgunaan dadah adalah satu masalah yang amat membimbangkan masyarakat kerana ia boleh melumpuhkan tenaga mahir anak-anak muda kita di masa akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris ketika merasmikan Ceramah dan Pameran Menangani Jenayah, Membanteras Dadah dan Keselamatan Dalam Program Belia Dan Ibubapa bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Program yang diadakan kelmarin di Balai Raya Ulu Dusun, Batu 30 Jalan Labuk itu merupakan anjuran bersama Rukun Tetangga, Persatuan Ibu Bapa & Guru dan JKKK Kg Ulu Dusun.

Beliau mengingatkan masyarakat supaya faham bahawa masalah dadah bukanlah masalah orang lain sahaja tetapi adalah satu masalah yang berkemungkinan akan menjadi masalah diri sendiri dan keluarga.

Justeru itu, Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri menyeru kepada masyarakat umum supaya bersama-sama membantu Kerajaan dalam usaha membanteras najis dadah ini sehingga tercapainya matlamat negara bebas dadah.

“Penganjuran program seperti ini bertujuan memberi kesedaran kepada kumpulan sasar betapa  pentingnya memerangi penyalagunaan dadah sebagai tanggungjawab individu. Ia juga memberi kefahaman kepada mereka akan bahaya salahguna dadah terhadap masyarakat dan negara,” tambah Zakaria.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Gum Gum Kamal M Said serta pegawai-pegawai AADK dan PDRM Sandakan dan pemimpin masyarakat setempat.



No comments:

Post a Comment