ZAKARIA.......AKAN BANTU BAIKI RUMAH PAPAN IBU TUNGGAL KG GUM-GUM

Thursday March 24. 2016

FOTO MENUNJUKKAN……Siti Terpilih Pentah berterima kasih kepada Zakaria atas keprihatinan beliau terhadap masalah beliau 

 
OLEH: AZMIE AZMAN
www.sabahinsider14.blogspot.com


GUM-GUM:- Keprihatinan Datuk Zakaria Haji Mohd Edris terhadap masalah rakyat telah menyentuh hati seorang ibu tunggal yang tinggal di sebuah rumah papan yang daif di Kampung Gum Gum bersama tujuh orang anaknya.
 
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Zakaria  kerana memberi bantuan kepada kami yang memang sangat memerlukannya (bantuan),” kata Siti Terpilih Pentah, 46, kepada media selepas menerima sumbangan daripada Zakaria kelmarin.

Siti berkata beliau bangga kepada Zakaria kerana sumbangan ini, menunjukkan keprihatinan Zakaria sebagai seorang pemimpin yang sentiasa peka kepada kebajikan dan keperluan penduduk di kawasan DUN Gum Gum.

Siti telah menetap di kampung berkenaan sejak beliau dilahirkan pada tahun 1970. Enam dari anaknya kini berada dibangku sekolah dan beliau berjual makanan untuk sara hidup setelah suaminya meninggalkan beliau serta anak-anak mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Zakaria Haji Mohd Edris telah menyampaikan  sumbangan peribadi serta barangan keperluan harian dan bahan pembinaan kepada Siti semasa melawat Siti dan anak-anaknya di rumah mereka.

Menurut Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, beliau turut mengarahkan pegawai-pegawai UPPM DUN Gum Gum untuk mengenalpasti jenis bantuan kebajikan yang dapat diberikan kepada Siti.

Beliau juga memberitahu bahawa pihak Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar dengan kerjasama pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan mengadakan gotong royong untuk membantu membaik pulih rumah yang diduduki oleh Siti.

Hadir bersama dalam lawatan Zakaria ialah Timbalan Presiden MPS Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain, pegawai-pegawai MPS dan Jabatan Pengiran dan Saliran Negeri, Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum Kamal M Said, Pegawai Kemajuan DUN Gum Gum Rosly Aziz serta kakitangan UPPM DUN Gum Gum dan pemimpin masyarakat setempat.


No comments:

Post a Comment