Pengerusi Eksekutif NFC bebas tuduhan pecah amanah


Tuesday November 24.2015

KUALA LUMPUR:- Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat.
Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, supaya anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir tidak membantah permohonan itu.
Mohamad Salleh yang berada dalam kandang tertuduh meraup mukanya tanda syukur selepas mahkamah membebaskannya daripada keempat-empat pertuduhan.
Muhammad Shafee turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan yang mempertimbangkan permohonan anak guamnya dan kepada mahkamah kerana memberi laluan dan ruang kepada anak guamnya.
Isteri Mohamad Salleh, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO dilihat memeluk suaminya selepas selesai prosiding.
Terdahulu, Syed Faisal memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara membuat keputusan supaya Mohamad Salleh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas meneliti surat representasi yang dikemukakan peguam pada 4 November lepas.
Muhammad Shafee bagaimanapun berhujah anak guamnya sepatutnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dan bukan dilepas tanpa dibebaskan seperti yang diputuskan oleh jabatan tersebut.
"Kami berharap bagi perintah dibebaskan dan bukannya dilepas tanpa dibebaskan kerana semua pertuduhan terhadap beliau (Mohamad Salleh) adalah tergantung di awang-awangan," katanya.
Perbicaraan kes itu bermula pada 23 Jun 2014 dengan saksi pertama pihak pendakwaan memberi keterangan, bagaimanapun perbicaraan ditangguhkan selepas Mohamad Salleh mengemukakan permohonan bagi membatalkan dua pertuduhan pecah amanah itu.
Pada 28 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan kes Mohamad Salleh diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Sesyen selepas menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan pecah amanah itu.
Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 66, yang juga pengarah NFCorp mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek NFCorp untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerung di Kuala Lumpur.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.
Mohamad Salleh juga dituduh melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek, antara 6 Mei dan 16 Nov, 2009, ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd yang beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.
Kedua-dua pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Mohamad Salleh juga menghadapi dua lagi pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat tanpa kelulusan mesyuarat agung tahunan syarikat untuk membuat sebahagian daripada pembayaran bagi pembelian unit-unit kondominium.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM30,000.
Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita berkata permohonan pihak pendakwaan supaya Mohamad Salleh dilepas tanpa dibebaskan tidak sesuai kerana perbicaraan kes itu telah bermula.
Mohamad Salleh juga melahirkan rasa kesyukuran atas keputusan mahkamah hari ini.
"Syukur kepada Allah yang merahmati dengan keadilan ini. Allah amat mengasihani," katanya.BERNAMA

ULASAN EDITOR
Jelas pihak kehakiman bersikap birokrasi kalau orang-orang UMNO yang buat salah macam manapun ada peluang kebebasan semuanya tutup lubang .

Kalau orang-orang UMNO terlibat dalam pembunuhan  sekalipun kalauy kes di bawah ketengah pihak pengadilan tentunya ada peluang bebas ini dasar UMNO





No comments:

Post a Comment