PENAMBAHAN PERUNTUKAN RM90 JUTA PINJAMAN MIKRO KREDIT UNTUK PENJAJA CINA

OLEH: SHAIMON S JUMADI 


BATU SAPI:-  Penambahan peruntukan RM90 juta sebagai pinjaman mikro kredit kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina  di negara ini  Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin menyambut baik usaha kerajaan berbuat demikian

Dengan penambahan peruntukan ini menunjukkan walaupun kerajaan mengutamakan agenda Bumiputra, namun  kaum lain seperti kaum Cina tidak diabaikan, kata Linda ketika perbahasan Belanjawan 2016 di Parlimen kelmarin.
 
Linda mencadangkan kepada Kerajaan untuk memberi keutamaan kepada peniaga-peniaga dari Sabah secara amnya, dan khususnya dari kawasan Sandakan yang telah mengalami kemerosotan ekonomi berikutan dengan harga minyak sawit yang rendah dan kekurangan pelancong ke kawasan ini akibat daripada ancaman keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Menyentuh berkenaan dengan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan luar bandar, Linda menyeru bahawa perhatian diberikan kepada ramai penduduk desa di Sabah yang masih serba kekurangan. Contohnya di pulau-pulau di Kawasan Parlimen Batu Sapi, bekalan air bersih dan bekalan elektrik masih sangat terhad.

Justeru itu, beliau memohon kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan yang masih kurang maju ini.

Sementara itu, berkaitan dengan usaha menggalakkan pelancongan di Pantai Timur Sabah yang memang terkenal dengan pelbagai produk eko-pelancongan, Linda menyarankan Kementerian Pengangkutan mempromosikan Lapangan Terbang Sandakan sebagai hub udara untuk Pantai Timur Sabah.

Beliau juga mencadangkan Hub Udara Sandakan ini dihubungkan secara terus dengan lebih banyak lapangan terbang besar, melalui penerbangan syarikat-syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Air Asia, Malindo Air, Jetstar Airway,  dan Tiger Airways.

Dalam ucapan beliau juga Linda merayu kepada pihak berkuasa keselamatan agar dapat berusaha dengan lebih gigih untuk menyelesaikan   kes penculikan di Restoran Ocean King Sandakan, di kawasan Parlimen Batu Sapi, pada 14hb Mei, 2015, dan menyelamatkan dua orang mangsa penculikan, iaitu Thien Nyuk Fun, dan  Bernard Then Ted Fen.

Linda memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya menggunakan semua saluran diplomatik dan keselamatan untuk menyelamatkan mereka. Kejayaan menyelamatkan mereka juga akan dapat menyakinkan pelancong tentang keselamatan dan menarik mereka ke Sandakan dan Pantai Timur Sabah.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada Belanjawan 2016 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak.


No comments:

Post a Comment