KEHILANGAN MYKAD KALI KETIGA AKAN DIDENDA RM1,000.00.............,ADENAN AB RAHMAN


PUTRAJAYA:-  Kadar fi bagi penggantian kad pengenalan yang hilang akibat kecuaian akan dinaikkan bermula 15 Oktober ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Adenan Ab Rahman.
 
Beliau berkata fi bagi kehilangan kali pertama kekal pada kadar RM100, manakala kehilangan kali kedua dinaikkan dari RM200 kepada RM300 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000.
 
Bagaimanapun, katanya pengecualian kadar fi diberikan kepada orang kurang upaya (OKU), fakir miskin, warga emas berumur 60 tahun ke atas, mangsa bencana, kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut serta remaja warganegara Malaysia berusia bawah 18 tahun.
   

Katanya kenaikan fi itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur penggantian MyKad berikutan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menunjukkan kadar kehilangan MyKad akibat kecuaian dari 2010 hingga September 2015 adalah 1,356,135 kes.
  
"Kaedah pelaksanaan penambahbaikan prosedur ini tidak akan mengambil kira sejarah kehilangan kad pengenalan sebelum ini dan kadar fi baharu hanya akan bermula pada tarikh kuat kuasa prosedur ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 
  
Adenan berkata selain kenaikan fi, prosedur penggantian MyKad turut diperketatkan dengan garis panduan baharu.
  
Katanya bagi permohonan gantian hilang kad pengenalan kali pertama, pemohon boleh terus ke kaunter JPN, manakala bagi permohonan kali kedua dan seterusnya, pemohon hendaklah membuat laporan polis mengenai kehilangan tersebut sebelum memohon di kaunter JPN.
  
"Permohonan gantian hilang kad pengenalan kali ketiga dan seterusnya akan disiasat terlebih dahulu sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan," katanya.
  
Tambahnya semua permohonan gantian hilang kad pengenalan akan dikeluarkan dengan Dokumen Pengenalan Sementara sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan.
  
Adenan berkata selaras dengan Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, setiap orang yang dikeluarkan kad pengenalan adalah bertanggungjawab menjaga kad pengenalan tersebut dan hendaklah memastikan ia berada dalam keadaan baik. -Bernama



No comments:

Post a Comment