ZAKARIA....KEHARMONIAN KESTABILAN POLITIK

OLEH: AZMI AZMAN

Zakaria (5 dari kiri) bersama Juslie serta pemimpin lain di Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri beliau dan Juslie.


GUM-GUM:-  Keamanan, keharmonian, toleransi agama dan kestabilan politik yang kita nikmati di Negara kita amnya dan Sabah khasnya harus dikekalkan.

“Malaysia adalah negara contoh yang mengamalkan toleransi agama dan harmoni walaupun terdiri dari berbilang kaum serta budaya.,” kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Haji Zakaria Haji Mohd Edris.

Dalam dunia yang bergolak akibat persengketaan agama dan perbezaan fahaman politik , marilah kita menunjukkan kepada dunia bahawa Negara kita adalah model dimana rakyat berbilang kaum dan budaya hidup dalam keamanan, mengamalkan toleransi agama serta harmoni.

Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum berkata demikian kepada media di Rumah Terbuka Aidil Fitri beliau bersama Ahli Parlimen Libaran Datuk Juslie Ajirol di Pusat Kebudayaan Kampung Sungai Tiram di sini kelmarin.

Sementara itu , sambutan Hari Raya Aidil Fitri mengeratkan jalinan ukhuwah, persaudaraan dan perpaduan sesama kita, kata Zakaria.

 “Kita bermaafan bagi melupakan kesilapan yang lalu, di samping bersedia membuka lembaran baharu menuju tahap permuafakatan yang lebih tinggi,” kata beliau lagi.

Ikatan perpaduan yang erat merupakan jaminan untuk kemajuan masyarakat dan negara kita. Interaksi silang budaya amat besar maknanya terhadap kehidupan yang harmoni dan sentosa, tambah Zakaria.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Datin Hajah Raisah Jubar, isteri kepada Datuk Zakaria, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum Kamal M Said, Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Gum Gum Rosly Aziz, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran Sapilin Md. Yassin, AJK UMNO Bahagian Libaran, Pemuda, Wanita serta Puteri dan pemimpin setempat.

Lebih dari 3,000 masyarakat dari kawasan situ dan berhampiran telah mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri kedua-dua pemimpin berkenaan yang diadakan dari jam 10 pagi hingga 2 petang.




No comments:

Post a Comment