JAMES RATIB.... AHLI-AHLI UMNO DISARAN PASTIKAN KEKUATAN JENTERA TERUS MANTAP

OLEH: SHAIMON S JUMADI


KERJASAMA KUKUH ... James semasa mempengerusikan mesyuarat Umno Bahagian Beluran yang membincangkan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini


SUGUT:-  Ketua Umno Bahagian Beluran, Datuk James Ratib berkata ahli-ahli Umno setiap peringkat tanpa mengira apa jua jawatan hendaklah sentiasa memastikan kekuatan jentera terus mantap daripada saling bertelagah akhirnya merosakkan parti itu sendiri.

Ini katanya, punca kelemahan kepada parti apabila wujudnya berpuak-puak kalangan sesama sendiri sedangkan parti tidak mahu ahlinya bergeseran sebaliknya menanam semangat jitu ke arah mewujudkan kerjasama yang lebih kukuh.

Tegas beliau, sikap sedemikian rupa perlu diketepikan sama sekali kerana ianya tidak membawa apa-apa kebaikan apatah lagi ketika parti keramat seperti Umno yang sentiasa berusaha membela nasib bangsa, agama dan negara.

"Kita ketepikan semua ini ... apa yang penting sekarang perkukuhkan kerjasama dengan meningkatkan semangat terus bersatu padu untuk kepentingan parti yang banyak membantu rakyat itu," ujarnya.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut turut menyuarakan sokongan padu yang tidak berbelah bagi Umno Beluran kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Umno iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Menurutnya, Umno bahagian berkenaan akan sentiasa membantu untuk memastikan kelangsungan parti terus utuh sekali gus memperkasakannya demi kepentingan rakyat seluruhnya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Umno Beluran yang telah berlangsung di Grand Ballroom, Sabah Hotel, dekat sini, petang Selalu.

Mesyuarat selama dua jam ini membincangkan aktiviti-aktiviti Umno Bahagian sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak iaitu program berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada fakir-fakir miskin termasuklah golongan kurang kemampuan kepada penduduk Beluran khasnya Sugut.

Mesyuarat turut menetapkan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri akan dibuat di Pekan Baru Botition, Sugut.

Dalam pada itu, mesyuarat yang menjurus kepada perbincangan aktiviti di sepanjang Ramadan turut membangkitkan hal-hal lain antaranya proses keahlian sebagai ahli Umno dan daftar pemilih.

Turut dibincang gerak kerja usaha-usaha memperkasakan parti Umno di kawasan Beluran yang mana setiap ahli memainkan peranan penting dalam memastikan hala tuju parti.

James yang juga merupakan Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd kemudiannya berbuka puasa bersama rakan-rakan ahli jawatankuasa bahagian di Plantation Cafe, Sabah Hotel.

Hadir sama Ketua Wanita Umno Beluran, Indang Datu Asibi; Ketua Pemuda, Samad Jamri; Ketua Puteri, Julie Sabran; Setiausaha Bahagian, Mohd Omar Amsulong dan Ketua Penerangan, Abdul Wahab Ghani serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sugut, Jalil Atang. 


No comments:

Post a Comment