GEMPA DI GUNUNG KINABALU: DAP GESA TUBUH JAWATANKUASA KHAS PARLIMEN SIASAT KELEMBAPAN AGENSI PENYELAMAT MALAYSIA

“SURAT KEPADA EDITOR”



TERLEBIH dahulu saya memohon jasa baik  kepada Editor agar dapat menyiarkan artikel ini di ruangan Surat Kepada Editor  untuk tatapan semua mengenai isi hati yang tersirat dan yang tersurat mengenai Tragedi Gempa Bumi Gunung Kinabalu.

Saya berasa kecewa dengan prestasi agensi kerajaan yang lembab dalam menangani operasi penyelamatan (search and rescue) selepas gempa bumi berlaku di Gunung Kinabalu.

Sudah tentu, dengan kritikan yang banyak terhadap pasukan penyelamat kita, ia telah menjejaskan imej negara. Justeru saya mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa terpilih parlimen bagi menyiasat dan mengkaji semula secara menyeluruh semua aduan dan kritikan itu.

Persoalan yang ingin saya bangkitkan ialah adakah SAR mengikut SOP yang ada? Atau, adakah SOP itu kurang effisien hingga menyebabkan kelewatan?  Mengapa helikopter tidak menyelamatkan orang di atas bukit manakala hanya membuang makanan ke bawah?

Akibat proses penyelamatan begitu lambat dan tidak efektif,  akhirnya malim gunung (mountain guide) sahaja yang kehadapan menjalankan tugas penyelamatan.

Apakah tugas SAR pada ketika itu? Kenapa EMET yang ditugaskan sebagai Emergency Medical lewat tiba dan hanya sampai selepas 42 jam berlakunya gempa bumi? Semua soalan-soalan ini haruslah  dijawab dan diberi penjelasan khususnya kepada rakyat Sabah termasuk keluarga mangsa-mangsa!

Semua kritikan ini telah dilaporkan oleh Media Antarabangsa seperti CNN, ABC, BBC, ia telah menjatuhkan air muka kita. Post mortem perlulah dibuat dan satu laporan hendaklah dikemukakan supaya semua masalah ini tidak akan diulangi apabila gempa bumi akan berlaku lagi.

Saya mendesak kerajaan memeriksa semula semua bangunan di sekitar kawasan bencana supaya ia mempunyai ciri-ciri boleh tahan dari gempa bumi berlaku. Kerajaan juga harus mengambil inisiatif supaya mendidik anak-anak kita bagaimana menghadapi apabila gempa bumi berlaku kelak.


Akhirnya, saya menyeru kerajaan mengumumkan satu hari sebagai “National Mourning Day” memandangkan bencana ini bukanlah isu Sabah semanat-mata, ia merupakan peristiwa yang amat malang bagi Malaysia.

Singapura telahpun mengumumkan National Mourning Day, tetapi kerajaan persekutuan nampaknya langsung tidak prihatin terhadap apa yang berlaku di Sabah, kerajaan juga tidak peduli perasaan rakyat Sabah yang sedang bersedih. Ia jelas menunjukkan sikap kerajaan yang menganak tirikan Sabah. Saya harap YAB Perdana Menteri jangan lagi mengecewakan rakyat kita.



Yang benar
STEPHEN  WONG TIEN FATT
AHLI PARLIMEN SANDAKAN cum
TIMBALAN PENGERUSI DAP NEGERI SABAH

No comments:

Post a Comment