DUA ORANG WARGA TEMPATAN DICULIK DIRESTORAN OCEAN KING JAM 7.45 MALAM TADI


OLEH: SHAIMON S JUMADI

SIMPATI...Wong simpati atas dua mangsa culikan semoga mereka semuanya dalam keadaan selamat

SANDAKAN: Satu lagi kes penculikan berlaku dan  membabitkan dua warga tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Restoran Ocean King, dekat sini, jam 7.50 malam ini.

Thien Nyuk Fun, wanita berusia 48 tahun dan pelancong dari Sarawak berumur 50 tahun dilarikan sekumpulan empat lelaki dipercayai bersenjatakan pistol dan M16 dengan dua lagi suspek menunggu di bot.

Ketika kejadian, wanita yang juga adik ipar kepada pemilik restoran berkenaan berada di kaunter, manakala lelaki terbabit berada di meja makan bersama isteri dan seorang rakan.

WAJAH ..mangsa culik Nyuk Fun Thien

Difahamkan, kumpulan bersenjata terbabit muncul secara tiba-tiba dari arah laut dan hanya mengambil masa kira-kira seminit untuk melarikan kedua-dua mangsa dengan sebuah bot laju.

Mereka kemudian dilihat melarikan diri ke arah perairan antarabangsa, dipercayai menghala ke negara jiran.

Pengurus restoran, Chung Yun Thiam, 60, berkata ketika kejadian ada kira-kira 80 pelanggan sedang menikmati makan malam sebelum tiba-tiba muncul empat lelaki bersenjata terbabit.

Katanya, semua lelaki terbabit memakai pakaian celoreng tetapi tidak bertopeng dengan seorang daripadanya membawa senapang jenis M16 dan peluru disangkut pada badannya.

“Menyedari kehadiran empat lelaki bersenjata itu, semua pelanggan lari untuk menyelamatkan diri, namun mangsa wanita dan lelaki berkenaan tidak sempat lari,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, menerusi aplikasi WhatsApp berkata, pihaknya masih mendapatkan fakta berhubung kes berkenaan.

Dalam tinjauan  wartawan The Borneo Sabah Insider  di tempat kejadian mendapati pasukan keselamatan mengawal ketat kawasan terbabit.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong juga turut berada di tempat kejadian dan beliau amat simpati keatas nasib dua orang yang menjadi mangsa culikan itu.

No comments:

Post a Comment