CADANGAN KM MINTA BANTUAN KERAJAAN PERSEKUTUAN HANTAR ASET ESSCOM DISOKONG.....CHARLES PANG

OLEH: SHAIMON S JUMADI


KARAMUNTING:-  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang, menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Musa Haji Aman yang meminta kerajaan pusat segera menghantar aset termasuk kelengkapan sesuai untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Beliau menegaskan keperluan lojistik ini sangat penting yang membolehkan kawalan keselamatan lebih baik dapat dijalankan terutama melibatkan perairan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

"Saya menyambut baik dengan langkah-langkah yang diutarakan Datuk Seri Musa agar patut aset sesuai untuk ESSCOM dihantar ke Sabah supaya kerja-kerja mengawal keselamatan dapat diberikan tumpuan penuh," jelasnya kepada The Sabah Insider Portal Online semasa ditemui di Sri Libaran, dekat sini, kelmarin.

GAMBAR HIASAN SAHAJA....Foto Arkib Sabahkini.net

Sebelum itu, Charles hadir dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Menteri membincangkan susulan insiden penculikan di Restoran Ocean King, lewat petang baru-baru ini

Hadir sama pada perbincangan itu Komander ESSCOM, Dato' Abdul Rashid Harun; Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Zabidi Md. Zain dan Ketua-ketua pasukan keselamatan yang lain serta pemimpin setempat.

Kejadian penculikan yang tidak disangka dan mengejutkan masyarakat apabila dua warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita diculik sekumpulan lelaki bersenjata di restoran atas air yang terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Sandakan ini.

Mengulas lanjut, Charles melahirkan keyakinannya kes sebegini akan dapat dibendung berikutan komitmen jitu kerajaan terutama pasukan-pasukan keselamatan yang akan terus menjaga keselamatan daripada terus dicerobohi anasir-anasir luar.

Katanya, masyarakat juga perlu memberikan kerjasama dengan segera menyalurkan maklumat jika berlaku sesuatu di sekeliling mereka bagi membolehkan pihak berkuasa keselamatan menjalankan tindakan.

"Saya yakin pihak kerajaan akan dapat menghentikan serta-merta insiden penculikan yang berlaku asalkan kita semua memberikan kerjasama jitu.

"Saya mengalu-alukan saranan Ketua Menteri yang meminta perlunya disegerakan segala aset termasuk kelengkapan yang sesuai untuk ESSCOM, bagi membolehkan mereka menjalankan tugas mengawal keselamatan pesisiran pantai timur," ujarnya.



No comments:

Post a Comment