KAEDAH DAN SISTEM PERUBATAN DIBANDINGKAN DI SEMENANJUNG DAN DI SABAH MASIH JAUH KETINGGALAN

OLEH: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN:- Ahli Parlimen Kawasan Sandakan (DAP) Stephen Wong berkata  berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia dan jawapan bertulis daripada Menteri Kesihatan Datuk Subramaniam di Dewan Rakyat  terdapat perubatan di Sabah masih jauh ketinggalan berbanding dengan negeri yang lain, Kerajaan Persekutuan harus meningkatkan sumber perubatan, menambahkan peruntukan dan bajet dalam RMK11 yang bakal datang, supaya standard pembangunan perubatan di antara Sabah dengan Semenanjung dan seluruh negara adalah sama-rata.

Beliau berkata, mengikut cara pengiraan organisasi antarabangsa, salah satu cara untuk menyemak keadaan sumber perubatan bagi sesuatu negara, adalah dengan mengira nisbah katil dan doktor kepada penduduk. Disebabkan populasi penduduk Sabah semakin meningkat, lebih banyak sumber perubatan perlu dibekalkan, untuk memastikan setiap orang dapat menikmati kemudahan perubatan.

Menurut jawapan bertulis daripada Kementerian Kesihatan kepada MP Sandakan di Dewan Rakyat, kerajaan sedang dalam usaha untuk meningkatkan nisbah bilangan katil di hospital Sabah bagi setiap 1,000 penduduk daripada 1.92 pada tahun 2012 kepada 2.5 menjelang tahun 2030.


Secara keseluruhannya pada tahun 2013, terdapat 24 buah hospital termasuk Institusi Perubatan Khas Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) di negeri Sabah dengan jumlah katil rasmi sebanyak 4,555 buah. Berdasarkan perangkaan penduduk yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk di Sabah pada tahun 2013 adalah 3.428 juta. Pada tahun 2013, nisbah katil hospital Kementerian Kesihatan Malaysia kepada penduduk di Sabah adalah 1.3 katil bagi setiap 1,000 orang, manakala tahun 2005 adalah setiap 1,000 orang 1.2 katil.

Pada tahun 2013, nisbah katil paling tinggi adalah daerah Beaufort iaitu 3.8 katil bagi setiap 1,000 penduduk, manakala nisbah yang paling rendah adalah daerah Kinabatangan iaitu 0.4 katil bagi setiap 1,000 penduduk.

Dengan ini, Wong mengkritik kerajaan tidak menyediakan sumber perubatan yang mencukupi, kerana dari tahun 2005 setiap 1,000 orang 1.2 katil, sehingga tahun 2013 setiap 1,000 orang 1.3 katil, hanya menambah 0.1 katil, walaupun tiada penurunan, tetapi ini menunjukkan kerajaan tidak berusaha untuk menambahbaik dan meningkatkan nisbah.

Selain itu, menurut jawapan yang diberikan dalam Dewan Rakyat, pada tahun 2013, jumlah doktor yang berkhidmat di negeri Sabah adalah 2,778 orang. Jumlah ini meliputi doktor yang berkhidmat di sector Kerajaan dan swasta. Nisbah doktor kepada penduduk di negeri Sabah pada tahun 2013 adalah seorang doktor kepada 1,234 orang berbanding tahun 2005, iaitu seorang doktor kepada 2,485 orang.

Secara keseluruhan, jumlah doktor di Malaysia pada tahun 2013 adalah 46,916 orang meliputi sektor awam dan swasta. Nisbah doktor kepada penduduk Malaysia pada tahun 2013 adalah seorang doktor kepada 633 penduduk.

Namun begitu, beliau berpendapat bahawa statistik ini akan meningkat jika mengecualikan doktor di sektor swasta, kerana bukan setiap orang mampu mendapatkan perkhidmatan hospital swasta, manakala hospital kerajaan kekurangan sumber perubatan pastinya akan menyebabkan ramai orang tidak mendapat perkhidmatan perubatan .

Wong berkata, mengikut statistik didapatkan oleh beliau, pada tahun 2005, nisbah doktor kepada penduduk di Sabah adalah setiap doktor kepada 2,719 orang, merupakan negeri yang paling kekurangan doktor. Pada ketika itu, nisbah doktor kepada penduduk seluruh negara ialah seorang doktor kepada 1,396 orang, dan Kuala Lumpur telah mencatat nisbah yang unggul iaitu setiap doktor kepada 396 orang, jauh lebih rendah berbanding dengan sasaran WHO iaitu setiap doktor kepada 600 orang.

Tetapi, pada tahun 2013, walaupun nisbah doktor kepada penduduk seluruh negara ialah seorang doktor kepada 633 orang, hampir mencapai sasaran, tetapi keadaan di Sabah tidak baik, setiap doktor kepada 1,234 orang, lebih teruk daripada nisbah tahun 2005 di Kuala Lumpur, masalah ini perlu dipandang serius.

Beliau berharap kerajaan dapat menyediakan perancangan dan memberikan sumber dan peruntukan yang mencukupi semasa membentangkan RMK11 di persidangan Parlimen yang akan datang, supaya jurang nisbah doktor kepada penduduk Sabah dapat dikurangkan dalam 5 tahun yang akan datang, menambahkan bilangan doktor di Sabah supaya selaras dengan tahap antarabangsa. Beliau berharap kerajaan dapat memandang serius terhadap masalah ini , kerana walaupun masalah sumber perubatan di Sabah telah bertambah baik, tetapi masih jauh ketinggalan dan kekurangan berbanding dengan Semenanjung atau Kuala Lumpur.


Beliau juga berharap dalam RMK11, kerajaan dapat memasukkan lagi banyak rancangan yang memanfaatkan rakyat Sandakan, seperti menaiktarafkan kemudahan asas hospital Sandakan contohnya membina tapak letak kereta, menubuhkan pusat rawatan tumor supaya pesakit kanser dapat menerima rawatan di Sandakan, dan membekalkan peralatan radioterapi kepada hospital Sandakan, memudahkan pesakit di Sandakan dan Pantai Timur Sabah mendapat kemudahan perubatan, pesakit tidak perlu bersusah-payah pergi ke Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.

No comments:

Post a Comment