35 ORANG HILANG TEMPAT TINGGAL AKIBAT KEBAKARAN KG GUM-GUM

OLEH: AZMI AZMAN


GUM-GUM:- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris telah mengarahkan pegawai-pegawai beliau dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N 41 Gum Gum untuk mengenalpasti jenis bantuan yang perlu diberikan kepada mangsa-mangsa kebakaran Kampung Gum Gum.

Zakaria meminta mangsa-mangsa kebakaran untuk bersabar kerana usaha-usaha kini sedang dilakukan untuk mendapatkan agensi-agensi kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka.

"Saya sudah berhubung dengan Pengarah Majlis Keselamatan Negara , Negeri Sabah dan beliau akan menyediakan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa," tambah Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, kelmarin selepas dimaklumkan berhubung kebakaran tersebut.

Menurut Zakaria, beliau telah meminta Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Haji Hamsan Haji Mohd Awang Supain supaya Jawatankuasa Bencana Alam Daerah yang akan mengadakan mesyuarat esok (Isnin) mengenalpasti tapak yang sesuai untuk memasang khemah yang akan diberi oleh Majlis Keselamatan Negara untuk menempatkan sementara mangsa.

Zakaria memberitahu bahawa beliau turut akan momohon kepada Kerajaan untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran.

Beliau juga meminta Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu-individu tampil untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa terbabit.

Seramai 35 orang kehilangan kediaman dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah kelmarin. Mangsa-mangsa kini ditempatkan sementara di Dewan Gum Gum dan akan dibekalkan bantuan makanan oleh pihak Jabatan Kebajikan Sandakan.

Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sandakan Andree Anddre Andrew berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada  jam 8.48 pagi.

Tiga jentera dan dua buah kenderaan utiliti  bersama 14 anggota bomba yang diketuai beliau telah bergegas ketempat kejadian.

Menurut Anddre, mereka tiba dilokasi pada jam 9.08 pagi dan memulakan operasi pemadaman dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah lain pada jam 9.37 pagi.

Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.




No comments:

Post a Comment