ZAKARIA RASMI PROGRAM KESEDARAN PENGGUNAAN GST ANJURAN MPWK LIBARAN

OLEH: LEE KON CHOI@ABDULLAH LEE
SHAIMON  S JUMADI


GAMBAR Kelihatan…..Zakaria kelihatan sedang berucap ketika merasmikan Program Kesedaran Kepengunaan GST


 


LIBARAN:-   Sistem cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dianggap lebih efektif dari segi meningkatkan keberkesanan kos disamping dapat mengurangkan karenah birokrasi dalam sistem pengurusan pentadbiran cukai negara.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Zakaria Haji Mohd Edris percaya pelaksanaan GST mempunyai kesan yang positif terhadap kecekapan dan daya saing ekonomi negara berikutan kos menjalankan perniagaan di bawah sistem GST adalah lebih rendah berbanding dengan sistem percukaian semasa.

“Keadaan ini akan memberi kelebihan kepada pihak peniaga untuk bersaing secara lebih kompetitif khususnya di pasaran eksport,” kata Zakaria ketika merasmikan “Program Kesedaran Kepenggunaan GST anjuran Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWK) Libaran di Dewan Libaran kelmarin.

Menurut Zakaria, GST tidak akan membebankan rakyat jelata berikutan kadar yang dicadang untuk dikenakan adalah sebanyak 6 peratus iaitu lebih rendah daripada kadar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan semasa 10 peratus.

“Jangan terpedaya dan percaya dengan dakyah-dakyah pihak tertentu bahawa GST membebankan rakyat tetapi sebaliknya GST adalah untuk mengurangkan beban rakyat. Semoga dengan penjelasan dan penerangan pada taklimat-taklimat GST akan memberikan kita kefahaman dan terbuka menerima sebarang perubahan dan pembangunan yang disediakan Kerajaan demi masa depan negara khususnya rakyat,” tambahnya lagi.

Memandangkan GST akan dikenakan ke atas semua barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara termasuk barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan atau yang diimport ke Negeri Sabah mulai 1 April, maka ia amat penting untuk rakyat memahami dan mengetahui secara lebih mendalam berhubung dengan kaedah dan mekanisme pelaksanaannya, kata Zakaria.

“Ia bagi mengelakkan isu GST ini terus dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mempengaruhi dan memesongkan pemahaman rakyat berkaitan isu ini untuk kepentingan mereka. Saya percaya, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin dan sentiasa menjuarai nasib rakyat, golongan yang berpendapatan rendah tidak akan dibebankan dengan GST,” tambah Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) kawasan Gum Gum.

Penceramah di program berkenaan terdiri dari wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan dihadiri oleh lebih dari 100 peserta

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWK) Libaran merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Armani Mahiruddin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Gum Gum Kamal M. Said.


No comments:

Post a Comment