ZAKARIA LAWAT PEJABAT PERTANIAN UNTUK PASTIKAN SEGALA PELUANG KEMUDAHAN KERAJAAN


SAMPAIKAN.....Kelihatan Jumaat menyampaikan cenderakenangan kepada Datuk Zakaria (6 dari kiri) sambil diperhatikan oleh rombongan dari BPE Bahagian Libaran dan UPPM Gum Gum


OLEH: AZMI AZMAN


GUM-GUM:- Biro Pembangunan Ekonomi (BPE) Bahagian Libaran yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pertanian Sandakan, Batu 7 Jalan Airport kelmarin.

Menurut Zakaria , tujuan lawatan kerja rombongan dari BPE Bahagian Libaran dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum mengenalpasti kemudahan serta peluang yang disediakan oleh Kerajaan untuk membantu rakyat.

“Kita tahu Kerajaan menyediakan banyak kemudahan membantu rakyat dan lawatan rombongan ke Pejabat Pertanian Sandakan adalah untuk mengenalpasti peluang-peluang yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian Sabah,” kata Zakaria.

Beliau juga meminta pihak Pertanian supaya menganjurkan lebih banyak kursus serta program untuk petani-petani termasuklah belia dan beliawanis di bahagian Libaran.

“Jikalau ada program pertanian untuk kawasan Sandakan , kita minta Pejabat Pertanian Sandakan untuk melibatkan juga BPE Bahagian Libaran dalam pembincangan bersama dalam penganjuran program tersebut,” tambah Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Negeri dan Perumahan.

Sementara itu, rombongan dari BPE Bahagian Libaran dan UPPM Gum Gum telah diberi taklimat ringkas oleh Pegawai Pertanian Kanan Pejabat Pertanian Sandakan Jumaat Ibrahim berhubung perkembangan pertanian , pelan pembangunan serta perancangan masa depan Jabatan Pertanian Sabah untuk seluruh kawasan Sandakan khususnya Gum Gum.

Antaranya projek yang telah dicadangkan iaitu pembinaan Kompleks Latihan Petani Pantai Timur Sabah di tapak seluas lebih kurang 59 ekar di Gum Gum yang dijangka akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke 11.

Kompleks ini akan menawarkan kursus-kursus untuk belia dan beliawanis serta petani-petani di Pantai Timur Sabah, Projek Pertanian dan Latihan Dalam Perkhidmatan dimana kursus atau seminar dapat dianjurkan  untuk memberi peluang kepada kakitangan Pertanian di Pantai Timur menghadiri program-program berkenaan.




No comments:

Post a Comment