TANAM POKOK GAHARU MENJANA EKONOMI PENDAPATAN ORANG KAMPUNG ...KATA JAMES RATIB

OLEH: SHAIMON S JUMADI


SIMBOLIK ... James (tengah) meluangkan masanya untuk menyempurnakan upacara simbolik iaitu menyuntik pokok tanaman Gaharu yang merupakan hasil tanaman pekebun-pekebun kecil ketika lawatannya di Kampung Tangkarason 



















BELURAN:- Ahli  Dewan Undangan Negeri (Adun) N.39 Sugut, Datuk James Ratib, meminta setiap pemimpin masyarakat agar memainkan peranan dengan lebih efektif ekoran usahanya yang kini merancang pelbagai strategi untuk memastikan Sugut terkeluar dari kepompong kemiskinan.

Menurut beliau, peranan mereka membantunya merancang memandangkan banyak potensi kawasan luar bandar ini untuk membangun pesat terutama dari segi sektor ekonomi asalkan kerangka pembangunan digerakkan bersama.


Beliau berkata, usaha pertamanya dengan mempelbagaikan sumber ekonomi rakyat yang berpandukan peluang-peluang seperti mewujudkan pekan dengan membina rumah kedai sekali gus membantu penduduk setempat meningkatkan sosio ekonomi mereka.

Katanya, mana-mana penduduk khususnya pekebun kecil atau pun petani perlulah tampil bagi menjayakan matlamat itu tambahan lagi peranan mereka sebagai pemangkin kepada kemajuan Sugut selama ini.

"Saya telah pun merangka pelbagai perancangan untuk membina mahu pun menaiktaraf rumah-rumah kedai yang ada supaya penduduk kampung boleh menjalankan aktiviti perniagaan yang membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Sugut.

"Saya tidak mahu melihat kawasan Sugut yang kaya dengan pelbagai sumber ini, ketinggalan jauh daripada sektor ekonomi. Sebab itu, saya sering turun padang menjengah masyarakat sebab ingin memastikan kemajuan di kawasan ini.

"Saya yakin dan percaya, jika kita semua ini bergerak seiring ... tidak mustahil Sugut akan muncul antara kawasan luar bandar yang termaju di negara ini khususnya Sabah.

"Yang penting kerjasama kerana peranan anda sebagai pemimpin masyarakat banyak membantu seseorang pemimpin melaksanakan agenda pembangunannya.

"Seperti yang kita maklum ... lawatan kerja pada kali ini, saya telah membawa serombongan pegawai Sedcovest bagi melawat tapak pembinaan bangunan yang boleh dijadikan sebagai pusat sehenti.

"Apabila ia wujud nanti, Sugut tentu menjadi destinasi pilihan untuk dikunjungi kerana saya mengambil kira seperti Pekan Baru Botition dan Paitan umpamanya ... menjadi laluan utama kepada kenderaan," jelasnya.

James selaku Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerjanya bersama pegawai-pegawai Sedcovest ke Kampung Salan Lingkabau; Kampung Kobambangan; Kampung Talidusan dan Kampung Tangkarason baru-baru ini.

Lawatan selama dua hari itu, adalah bagi meninjau tapak pembinaan bangunan Sedcovest untuk dijadikan sebagai 'One Stop Centre' atau pusat sehenti.

Kesempatan lawatan di Tangkarason, Ketua Umno Bahagian Beluran ini menyempurnakan satu lagi upacara simbolik iaitu menyuntik pokok Gaharu yang merupakan hasil tanaman beberapa pekebun kecil.

Beliau dengan rombongan Sedcovest yang turut disertai pegawai-pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sugut turut melawat Pekan Sungai-Sungai dengan meninjau bangunan lama gerai tamu yang akan dinaiktaraf oleh Sedcovest kelak.

Rombongan juga turut singgah di Kampung Mosinggapuh yang mana Adun Sugut turut menemui penduduk kampung dengan berbual untuk mendengar permasalahan yang diutarakan.

Antaranya, masalah ketiadaan air bersih untuk kegunaan harian orang kampung akibat kemarau di mana air sungai di kampung tersebut tidak dapat digunakan untuk makan dan minum.

James juga mendengar dan menangani persoalan berkaitan masalah tanah ke atas 13 orang penduduk di Mosinggapuh bersama dengan sebuah syarikat broker tanah.

Sejurus selepas itu, serombongan telah ke Pekan Botition untuk satu lagi perjumpaan secara santai bersama dengan penduduk-penduduk di 10 buah kampung dalam ZON / Mukim Pekan Botition termasuklah penduduk Botition sendiri.

Keesokannya, James melakukan lawatan ke Kampung Lubang Buaya di Paitan bagi menangani permasalahan yang diutarakan seperti melibatkan permohonan penduduk kampung yang berkaitan keperluan asas memerlukan perhatian dan tindakan segera.





No comments:

Post a Comment