ADUN GUM-GUM GESA PENGERUSI JKKK TURUN PADANG PASTIKAN KEPERLUAN PENDUDUK



OLEH: ROBERT CHIN KIM YIN


SANDAKAN:  Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum  digesa sentiasa turun padang untuk mengenalpasti jenis keperluan serta masalah penduduk di tempat mereka masing-masing.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris ketika bercakap dalam satu majlis perjumpaan dengan penduduk di Kampung Pertanian, Batu 25 Jalan Labuk, dua hari lepas.

Beliau mahu pengerusi JKKK mengemukakan laporan dari tinjauan mereka kepada pejabat ADUN Gum Gum untuk mendapatkan kelulusan atau surat sokongan supaya peruntukan boleh disalurkan oleh pihak Kerajaan untuk pelaksanaan projek pembangunan atau penyediaan kemudahan yang memanfaatkan penduduk.

“Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah Kerajaan yang prihatin serta peka kepada permasalahan yang dihadapi rakyat dan sentiasa mencari penyelesaiaan untuk mengatasinya,” tambah Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri.

Segala perancangan, program dan projek pembangunan yang akan atau telah dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional semuanya untuk kepentingan dan kebaikan rakyat, kata beliau lagi.

Hadir bersama di program berkenaan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Gum Gum  Kamal M Said, Pegawai Kemajuan Masyarakat Rosly Aziz serta Pemaju Mukim Gum Gum/ Dandulit Ali Jainal Oto dan para pemimpin masyarakat Kampung Pertanian.


No comments:

Post a Comment