BENTUK KANAK-KANAK JADI INSAN BERILMU......RAHMAN

OLEH: SAIMON S JUMADI




SANDAKAN:- Ketua Unit Kanan Bahasa PPD Sandakan, Ali Rahman Arsyad berkata usaha murni ini memandangkan pentingnya setiap sekolah samada sekolah menengah mahu pun rendah mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan.

Pendekatan dan strategi tersendiri sentiasa dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan bagi memastikan sekolah-sekolah di daerah ini berjaya dalam pengajaran mereka.

Ini katanya, anak-anak yang merupakan aset terpenting kepada pembangunan negara hendaklah dibentuk menjadi insan berilmu pengetahuan dan tanggungjawab berkenaan memerlukan kerjasama padu.

Sehubungan dengan itu, tambahnya, ibu bapa dan pihak sekolah terutamanya warga pendidik perlu berganding bahu dalam mempastikan kecemerlangan pelajar agar bila tibanya sesuatu peperiksaan, mereka akan lebih bersedia.

"Untuk mencapai keputusan yang cemerlang memerlukan pendekatan terancang kerana memastikan anak-anak berjaya dalam pembelajaran mereka hendaklah berusaha dengan memberikan motivasi dan galakan.

"Seperti program pagi ini, ia adalah satu aktiviti yang dapat membimbing minat pelajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

"Ini kerana, pendekatan yang dilakukan pihak sekolah sudah pasti meransang mereka untuk memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran di sekolah," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pegawai PPD Sandakan bagi menyempurnakan perasmian Majlis Penetapan Target UPSR Tahun 6 (2015) Sekolah Kebangsaan (SK) St. Monica di Dewan Warga Tua, Jalan Sibuga, dekat sini, kelmarin.

Seramai 26 pelajar yang mendapat keputusan 5 A dalam UPSR 2014 telah menerima bantuan berbentuk insentif daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St. Monica.

Majlis dihadiri lebih kurang 118 pelajar-pelajar Tahun 6 turut menyaksikan penyampaian insentif kepada Panitia yang telah menunjukkan peningkatan dalam UPSR 2014 daripada segi gred purata mata pelajaran atau peratus.

Hadir sama Guru Besar SK St. Monica, Teresa Chin dan Timbalan Pengerusi PIBG sekolah berkenaan iaitu Alex Lim serta ibu bapa pelajar. 

Mengulas lanjut, Ali menggesa ibu bapa agar sentiasa memberikan tumpuan kepada pembelajaran anak-anak di sekolah kerana untuk mencapai kecemerlangan memerlukan perhatian penuh.

Apatah lagi, katanya, senario yang ada pada ketika ini dikhuatiri begitu mudah terpengaruh sekiranya kurangnya tumpuan terhadap anak-anak

"Bagi kami di PPD Sandakan, sentiasa komited dalam memastikan setiap sekolah berjaya dalam pengajaran dan pembelajaran mereka.

"Ini kerana, setiap sekolah menjadi harapan PPD untuk di bawa ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, kerjasama semua pihak penting untuk menjulang nama sekolah.

"Saya memuji usaha dan inisitif pihak SK St. Monica yang mengadakan program sebegini secara langsung membolehkan murid-murid dapat bersedia apabila menjalani peperiksaan khususnya kepada pelajar Tahun 6," ujarnya.



No comments:

Post a Comment