KUALA LUMPUR,:- Penguatkuasa agama di negara ini perlu bertindak tegas terhadap individu yang didapati cuba mempersendakan Islam secara halus bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan yang boleh memusnahkan akhlak generasi muda pada masa akan datang.
Pendakwah bebas, Datuk Daud Che Ngah berkata ketidaksungguhan pihak berkuasa agama dalam menguatkuasakan undang-undang Islam di negara ini menjadi penyebab anak-anak muda khususnya yang tinggal di bandar besar mudah terjebak dengan perkara-perkara yang boleh merendahkan diri mereka sekaligus mencemar kemurnian martabat Islam.
“Kita ambil contoh apa yang telah berlaku tahun lepas apabila ada pihak cuba menganjurkan program menyentuh anjing yang turut disertai oleh orang Islam hingga menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat kita. Orang itu (penganjur) tidak dihukum sebagaimana yang sepatutnya dibuat berlandaskan undang-undang Islam.
“Ini kerana orang-orang agama seperti mufti yang dilantik tidak bersuara dengan lantang serta gagal untuk menghukum pesalah mengikut tatacara Islam. Mereka kena berfikir untuk itu,” tegasnya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.
Kata Daud, kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan program-program yang bercirikan agama sama ada di televisyen atau sebagainya belum tentu mampu menegah umat Islam untuk tidak melanggar larangan Allah S.W.T sekiranya undang-undang Islam tidak dikuatkuasakan sama sekali.
Daud berkata demikian ketika mengulas tentang video aksi beberapa gadis Melayu bertudung berusia lingkungan 20-an merelakan diri mereka dipeluk dan dicium dia atas pentas pada satu persembahan K-Pop yang diadakan di ibu negara petang semalam.
Jelasnya, pendedahan yang dibuat oleh media massa berhubung perkara itu harus segera disiasat dan diambil tindakan mengikut cara Islam agar akhlak generasi muda pada masa ini tidak bertambah parah gara-gara dirosakkan oleh budaya kafir yang sangat memalukan.
“Jangan ada alasan lagi untuk laksana perkara yang ada hubung kaitnya dengan agama dan umat Islam.
“Negara sudah ditimpa pelbagai musibah dan itu sebenarnya peringatan dari yang Maha Esa. Jangan timbulkan lagi kemurkaan Allah dengan melakukan kemungkaran yang sememangnya kita sedari,” ujarnya.