Rumusan RCI: Projek IC 'mungkin' wujud

By Admin

KUALA LUMPUR:- Laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah membuat kesimpulan, antara lain, bahawa "Projek IC" yang begitu banyak diperkatakan, mungkin wujud di negeri itu.

Siasatan mengesahkan bahawa projek itu didakwa digunakan oleh kakitangan awam untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin, menyebabkan lonjakan penduduk di negeri ini.

RCI membuat kesimpulan bahawa terdapat "kredibiliti" dalam testimoni yang diberi oleh lima orang yang mengaku menjadi sebahagian daripada projek yang dikatakan itu.

Menurut laporan itu lagi, lima orang saksi tersebut bagaimanapun tidak disoal balas seperti yang sepatutnya dijalankan semasa perbicaraan.

“Atas sebab itu, dan melihat kepada penafian ke atas dakwaan berkenaan, kami hanya boleh menyimpulkan bahawa ada kebarangkalian bahawa 'Projek IC' sememangnya wujud seperti yang ditunjukkan dalam keterangan lima saksi terbabit.

“Ringkasnya, terdapat kemungkinan bahawa projek tersebut sememangnya wujud pada semua masa yang material,” laporan itu dipetik.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata RCI mendapati pengeluaran kad pengenalan (IC) biru secara haram kepada pendatang asing di negeri ini didorong faktor kewangan. 

Katanya, tidak ada dalam hasil siasatan suruhanjaya itu menunjukkan pengeluaran IC kepada pendatang asing dibuat atas kepentingan politik, khususnya atas nama 'Projek IC'.

"(Suruhanjaya mendapati) kerajaan telah mengambil tindakan ke atas mereka yang mengeluarkan IC dan dokumen pengenalan diri lain tanpa mengikut lunas undang-undang.

"Ini jelas menunjukkan bahawa isu 'Projek IC' yang dibangkitkan tidak timbul," katanya dala  sidang akhbar bagi mengumumkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah hari ini.

Menurut Ali, suruhanjaya tersebut membuat kesimpulan terdapat kebarangkalian 'Projek IC' itu wujud, tetapi hanya berdasarkan lima saksi "yang bukan sahaja tidak tertakluk kepada pemeriksaan balas, malah merupakan bekas pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 berkaitan penglibatan mereka dalam pengeluaran IC secara haram."

Beliau juga berkata suruhanjaya itu mendapati tidak terdapat petunjuk jelas proses permohonan dan pengeluaran IC oleh JPN adalah salah mengikut Peraturan Pendaftaran Negara 1972.

"Perkara yang salah ialah tatacara yang telah disalahgunakan oleh pemohon dengan memberi maklumat (peribadi) tidak tepat dan selepas itu, pengesahan maklumat (tidak tepat) itu dibuat oleh ketua kampung dan sebagainya (pihak berkuasa berkaitan).

"Suruhanjaya mendapati penggunaan akuan berkanun atau surat akuan yang sebenarnya memudahkan dan menyerlahkan penyalahgunaan tersebut (maklumat peribadi tidak tepat)," kata Ali.

Mengenai orang bukan wargenegara yang mendaftar sebagai pemilih, Ali berkata berdasarkan keterangan menyeluruh sepanjang prosiding RCI dijalankan, suruhanjaya itu tidak dapat menentukan bilangan sebenar mereka.
Posted By Sabahkini.net


No comments:

Post a Comment