Baju batik tak halang Azmin ‘terjun’ longkang


OLEH:  LIZAWATI MADFA

GOMBAK:- Penampilan segak Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dengan baju batik jawa ala Jokowi sama sekali tidak menghalang beliau untuk turun ke dalam longkang bagi program Gerak Gempur Aedes, di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau terlebih dahulu membuat terjahan dari rumah ke rumah di Kampung Tengah, di sini, bersama penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang dan Jabatan Kesihatan Selangor.
Beliau yang mesra menyapa penduduk kampung itu sempat ke kereta rasminya bagi menyarung kasut ‘phua chu kang’ berwarna kuning sebelum terjun ke longkang.
Mengulas operasi pagi ini, Mohamed Azmin menegur sikap masyarakat yang masih memandang ringan aspek penjagaan kebersihan kawasan persekitaran kediaman tempat tinggal.
“Kalau ada program sebegini, terutama di kawasan kediaman berstrata, kebanyakan yang buat kerja hanya pengawai sahaja.
“Penduduk sekadar duduk tersenyum sahaja dari tingkat atas, tengok pegawai buat kerja. Sikap sebegini perlu diubah kerana kesannya pada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Azmin merasmikan dan menyertai program sama di Kampung Klang Gate dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Tegasnya, Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama masyarakat dalam memerangi Aedes dan demam denggi yang semakin berleluasa.
Sehingga kini terdapat 59 kes kematian berbanding hanya 24 kematian dilaporkan sepanjang tahun lalu. Ini bermakna walaupun tahun 2014 masih belum sampai penghujung, kes kematian mendadak sehingga lebih dua kali ganda.
“Kes demam denggi juga meningkat tinggi dengan 1,000 kes dilaporkan pada setiap minggu berbanding 800 kes sebelum ini,” katanya.
-NFN-


No comments:

Post a Comment