PERINTAH BERKURUNG ZON SELATAN TIMUR SABAH DILANJUTJAN HINGGA 21 OKTOBER KATA PESURUHJAYA POLIS SABAH

OLEH: THOMAS SUNGGIUK

KOTA KINABALU:- Fasa kelima pelaksanaan perintah berkurung di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 21 Oktober ini.
 Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman (gambar) berkata  pihaknya juga sedang menunggu tindakan kerajaan dalam rundingan akhir bersama beberapa pihak bagi membebaskan anggota Pasukan Polis Marin, Konstabel Zakiah Aleip yang diculik dalam serangan hendap di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna pada Julai lalu.
Menurut beliau, walaupun kawasan perairan di Esszone berada dalam keadaan ‘tenang’ susulan pelaksanaan perintah berkurung, pihaknya akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini termasuk penculikan.
“Perintah berkurung ini dilanjutkan kerana kita menerima maklumat-maklumat keadaan di Esszone bagi mencegah dan menyekat kemasukan penjenayah sama ada penyeludupan atau penculikan.
“Minggu lalu saya melawat kawasan-kawasan peranginan di Pulau Mabul, Sipadan, Ligitan dan Kapalai, termasuk kawasan penternakan ikan dalam sangkar, kebanyakan pihak mengalu-alukan perintah berkurung untuk jaminan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar lantas memberitahu, perintah berkurung dilanjutkan memandangkan maklum balas baik yang diterima pelancong dan penduduk setempat berhubung jaminan keselamatan.
Ditanya keadaan terkini Zakiah, 26, ujarnya, anggota polis itu berada dalam keadaan baik dan telah membuat 79 panggilan telefon terhadap ahli keluarganya dan polis sehingga semalam.
“Kita tunggu rundingan akhir (antara kerajaan dan suspek) untuk membebaskannya,” tambahnya.
Beliau turut melahirkan keyakinan seorang pemilik pusat ternakan ikan dalam sangkar yang diculik di Kunak pada Jun lalu juga berada dalam keadaan selamat.
Kepada soalan tentang kes pembunuhan seorang guru di Kundasang, Ranau pada Jumaat lalu, jelasnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai mengenali suspek.
“Dalam rompakan yang melibatkan kematian, kebiasaannya mangsa mengenali suspek, sebab itu dia (suspek) bunuh,” katanya.
Berhubung seorang wanita yang didakwa menyebar dan menghasut dalam isu ‘memerdekakan’ Sabah daripada Malaysia, ujar Jalaluddin, suspek yang telah dikenal pasti itu masih berada di luar negara dan polis telah mengembangkan skop siasatan.


No comments:

Post a Comment