PENCURI DIBELASAH SEHINGGA MATI DI BUKIT MERTAJAM




BUKIT MERTAJAM,:- Seorang penganggur yang cedera parah dipukul orang ramai kerana mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang pemandu lori Jumaat lepas, meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini, awal Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Rusli Mohd Noor berkata mangsa, Ooi Sim Guan, 38, mati pada pukul 12.40 pagi ini selepas kira-kira 36 jam tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Dalam kejadian pada pukul 2 petang Jumaat lepas, mangsa telah menahan sebuah lori di tepi jalan di Taman Sejahtera di sini dan memberitahu pemandu berkenaan dia ingin menumpang ke Bandar Bukit Mertajam.

"Pemandu lori berkenaan yang berusia 33 tahun yang sedang dalam perjalanan ke Kulim kemudian membenarkan mangsa menaiki lorinya namun selepas satu kilometer, mangsa memaklumkan ingin turun," katanya pada sidang akhbar di sini Ahad.


Beliau berkata selepas lelaki itu turun, pemandu lori berkenaan menyedari telefon bimbitnya yang diletakkan dalam tempat penyimpanan barang di bahagian penumpang telah hilang dan dia berpatah balik ke Taman Sejahtera untuk mencari lelaki terbabit.

"Pemandu lori itu menemui lelaki berkenaan di kawasan padang berhampiran rumah kedai dan berlaku pertengkaran antara mereka apabila telefon bimbit yang hilang ditemui bersama mangsa," katanya.

Rusli berkata berlaku pergelutan dan beberapa lelaki yang berada di kawasan itu turut memukul mangsa dan pada masa yang sama seorang individu bertindak merakam kejadian tersebut menerusi telefon bimbit yang kemudiannya memuat naik rakaman itu di laman sosial.

Katanya susulan kejadian itu, polis menahan pemandu lori terbabit di sini bagi membantu siasatan. BERNAMA

1 comment: